Friday, September 12, 2008

Siti Nabihah berhati waja- sedihnya..huhu

Siti Nabihah berhati waja


SITI Nabihah Hasim, pesakit barah tulang yang dirawat di HUSM Kubang Kerian, menduduki peperiksaan UPSR kelmarin. – Gambar ROSNI MASRI


KOTA BHARU 11 Sept. – Penyakit barah tulang yang memamah dirinya memaksa Siti Nabihah Hashim, 12, menerima kenyataan bahawa dia akan cacat dengan sebelah kakinya perlu dipotong demi menyelamatkan nyawa.

Begitupun, murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sungai Karangan, Kulim, Kedah ini ternyata cukup tabah untuk mengharungi kehidupan alam persekolahannya.

Dalam keadaan serba kekurangan itu, dia menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini dengan keyakinan akan tetap memperoleh keputusan cemerlang 5A.

Anak seorang petani yang disahkan mengidap barah Ewing sarcoma itu menjalani pembedahan dengan kaki kirinya dipotong dari pangkal paha pada 3 Ogos lalu dan terpaksa bergantung kepada kaki palsu untuk bergerak.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor pakar tetap bersemangat tinggi dan tidak sabar untuk kembali ke sekolah, menjalani ibadat puasa serta menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Saya harap keluarga, rakan-rakan dan guru juga turut mendoakan supaya saya segera pulih dan dapat bersama-sama berhari raya.

“Selepas pembedahan itu, saya tidak lagi sakit dan dapat mengambil peperiksaan, walaupun tidak ke sekolah sejak lebih enam bulan lalu,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan yang menyampaikan sumbangan kepada murid-murid yang mengambil peperiksaan UPSR ketika dirawat di HUSM, semalam.

Pada kunjungan itu, Pengerusi Puspanita Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Kertini Musa menyampaikan sumbangan kepada tujuh murid, empat di HUSM dan tiga lagi di Hospital Raja Perempuan Zainab 11.

Mengenai penyakitnya itu, Siti Nabihah yang ditemani kakaknya, Siti Rosaida memberitahu, pahanya mula membengkak pada Mei lalu dan keluarganya mencari ikhtiar dengan mendapatkan rawatan di hospital dan secara tradisional kerana penyakitnya sukar dikesan.

Dia kemudiannya dirujukkan ke HUSM Jun lalu, dan disahkan mengidap penyakit barah tulang.

Anak bongsu daripada lapan adik-beradik ini berharap dapat segera pulih selepas menjalani beberapa rawatan susulan kelak.

Sementara itu, Siti Rosaida, 22, memberitahu, dia dan ibunya, Salbiah Ariffin bergilir menjaga Siti Nabihah selama mendapatkan rawatan di HUSM.

Ketika ini, katanya, dia mengambil alih tugas menjaga adiknya itu kerana ibunya terpaksa pulang ke rumah di Kampung Baru, Sungai Karangan, Kulim atas urusan keluarga.

Menurutnya, mereka sekeluarga berasa amat sedih melihat penderitaan Siti Nabihah semasa mula mengidap penyakit tersebut.

“Dia sering menangis kerana terlalu sakit, sehinggakan jika disentuh sahaja bahagian paha, dia akan menjerit sakit,” katanya.

Pada peringkat awal, jelasnya, punca penyakit adiknya itu tidak dapat dikesan sehinggalah dirujuk ke HUSM dan disahkan Siti Nabihah mengidap barah tulang Ewing sarcoma.

Menurut Siti Rosaida, dia kagum dengan sikap adiknya apabila bersedia menerima keputusan kakinya terpaksa dipotong.

“Kemungkinan kerana rasa sakit yang tidak tertanggung, sehinggakan dia bertanyakan bila kakinya boleh dipotong,” ujarnya.

Selepas pembedahan tersebut, katanya, adiknya itu menerima tanpa memperlihatkan rasa kesal terhadap keadaan fizikalnya

1 comment:

Anonymous said...

semoga tabah menjalani kehidupan...
sesungguhnya Allah sentiasa bersamamu...Amin..