Monday, March 28, 2011

adab seorang suami untuk si isteri dalam Islam



  • Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah, yang paling baik akhlaknya dan paling ramah terhadap istrinya/keluarganya. (Tirmudzi)
  • Suami tidak boleh kikir dalam menafkahkan hartanya untuk istri dan anaknya.(Ath-Thalaq: 7)
  • Suami dilarang berlaku kasar terhadap istrinya. (Tirmidzi)
  • Suami hendaknya bersabar dalam menghadapi sikap buruk istrinya. (Abu Ya'la)
  • Suami wajib menggauli istrinya dengan cara yang baik. Dengan penuh kasih sayang, tanpa kasar dan zhalim. (An-Nisa': 19)
  • Suami wajib memberi makan istrinya apa yang ia makan, memberinya pakaian, tidak memukul wajahnya, tidak menghinanya, dan tidak berpisah ranjang kecuali dalam rumah sendiri. (Abu Dawud).
  • Suami wajib selalu memberikan pengertian, bimbingan agama kepada istrinya, dan menyuruhnya untuk selalu taat kepada Allah dan Rasul-Nya<. (AI-Ahzab: 34, At-Tahrim : 6, Muttafaqun Alaih)
  • Suami wajib mengajarkan istrinya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan wanita (hukum-hukum haidh, istihadhah, dll.). (AI-Ghazali)
  • Suami wajib berlaku adil dan bijaksana terhadap istri. (An-Nisa': 3)
  • Suami tidak boleh membuka aib istri kepada siapapun. (Nasa'i)

  • Apabila istri tidak mentaati suami (durhaka kepada suami), maka suami wajib mendidiknya dan membawanya kepada ketaatan, walaupun secara paksa. (AIGhazali

Sunday, March 27, 2011

Rukun Bai'ah...


RUKUN BAI’AH

1. Al-FAHM

Iaitu faham dan seterusnya meyakini bahawa fikrah kita adalah Fikrah Islamiah yang sebenar. Kefahaman adalah kunci kepada keselamatan dan kejayaan dakwah kita kerana tidak mungkin Islam itu diperjuangkan oleh mereka yang tidak memahami Islam itu sendiri. Pepatah Arab pernah menyebut yang bermaksud “orang yang tidak memiliki sesuatu itu tidak mungkin dapat memberinya”.

Kefahaman yang dikendaki di dalam Rukun Bai’ah ini meliputi pecahannya yang dikenali sebagai al-Usool al-Isyreen (Usul 20) oleh al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.

2. AL-IKHLAS

Keikhlasan di sini bermaksud petugas Amal Islami mestilah meletakkan qasad atau niat pada perkataan dan perbuatannya secara menyeluruh kerana Allah, tanpa mempunyai apa-apa maksud terhadap keinginan harta, kemegahan atau gelaran. Dengan demikian itu jadilah ia Jundi (tentera) Fikrah dan Aqidah, bukannya jundi kemaslahatan.

3. AL-AMAL

Petugas hendaklah bekerja dan melaksanakan kefahamannya serta merealisasikannya sebaik mungkin. Amal di sini meliputi pengelokan diri, pembentukan rumahtangga Muslim, pendidikan masyarakat, pembebasan tanah air, pengislahan pemerintahan dan mengembalikan kedaulatan Islam di peringkat antarabangsa sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah agama itu keseluruhannya bagi Allah (al-Anfaal: 39)

4. AL-JIHAD

Iaitu jihad yang kewajipannya berlangsung sehingga ke hari Kiamat. Ia merujuk kepada Hadith yang bermaksud “Barangsiapa mati dan tidak pernah berperang jihad serta tidak pernah berniat untuk berperang jihad, maka matinya adalah mati jahiliah”.

5. AT-TADHIYYAH

Iaitu pengorbanan. Ia meliputi pengorbanan diri, harta, masa, hayat dan segala-galanya di jalan matlamat.

6. AT-THA’AH

Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah ketaatan di dalam mematuhi perintah pimpinan dan melaksanakannya sama ada di dalam keadaan susah atau senang. Ketaatan ini dipagari oleh batas-batas perkara yang duduk di bawah ketaatan kepada Allah dan Rasul.

7. AT-TSABAT

Tsabat yang dikehendaki di sini adalah berkekalannya petugas Amal Islami bekerja dan berjihad ke arah merealisasikan matlamatnya tanpa diganggu gugat oleh panjangnya masa dan berleretan tempoh sehinggalah ia mati bertemu Allah. Dengan demikian itu ia berhasil memperolehi salah satu daripada dua kebaikan iaitu tercapainya kemenangan atau syahid.

8. AT-TAJARRUD

At-Tajarrud bermaksud seorang Petugas Amal Islami itu menyempurnakan fikrahnya tanpa terpengaruh, terganggu atau terbawa-bawa dengan apa-apa campur aduk anasir yang berada di luar fikrahnya sama ada anasir itu berbentuk pengaruh idea, prinsip mahu pun individu. Menjadi kewajipan kepada kita untuk menghayati bahawa fikrah kita adalah fikrah tertinggi, mulia dan sempurna.

9. AL-UKHUWWAH

Apa yang dikehendaki daripada Ukhuwwah di sini adalah ikatan hati dan jiwa sesama petugas Amal Islami dengan ikatan Aqidah. Sesungguhnya ikatan Aqidah adalah sekukuh-kukuh ikatan.

10. ATS-TSIQAH

Kepercayaan yang dimaksudkan di sini adalah tenteramnya hati seorang Jundi itu kepada pemimpinnya, kemampuan dan keikhlasan pemimpin itu. Tenteram hati itu begitu mendalam dan ia tercerna dari kasih sayang, penghargaan, rasa hormat dan taat

Tuesday, March 22, 2011

HUKUM AKAD NIKAH DI MASJID: ADAKAH MENYIMPANG?


Assalamualaikum
Moga ustaz sentiasa di bawah rahmat Allah. Ana nak tanya ustaz, kat Malaysia ni ada pendapat yang mengatakan tak boleh akad nikah di masjid, kerana menyerupai Yahudi dan Kristian, ada hadith katanya. Apa pandangan Islam tentangnya?

Baha Al-Fatih

Jawapan

Waalaikumussalam, Allahumma ameen. Terima kasih kepada saudara Baha di atas soalan yang dikemukakan, yang menggambarkan keperihatinan saudara terhadap hukum sesuatu. Untuk memberi respon tentang soalan ini, saya perlu menyemak berita tersebut dan saya menjumpainya dalam laporan akhbar KOSMO online hari ini (21 Mac 2011).

Sebagai mukaddimah, Allah SWT menyebut tentang masjid dalam al-Quran antaranya menerusi surah an-Nur ayat 36-37 yang bermaksud:

Di rumah-rumah Ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut namaNya di dalamnya, bertasbih kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang hati dan pandangan menjadi goncang.

Membina masjid tujuannya adalah untuk mengangungkan Allah di dalamnya dengan mengerjakan ketaatan seperti solat, bertasbih, bertahmid dan bertakbir sama ada siang atau malam. Jadi, kedudukan masjid sangat mulia dalam Islam, kita perlu menjaga dan menghormatinya. Dilarang sama sekali membuat kotoran, membuat bising dan segala yang mencemarkan kemuliaan masjid.
Terdapat hadith yang menyebut secara jelas tentang isu yang sedang dibincangkan, ia juga menjadi perdebatan para ulama’ iaitu, daripada ‘Aisyah diriwayatkan bahawa nabi bersabda yang bermaksud:

Hebahkan pernikahan ini dan jadikannya di masjid, dan pukullah gendang. (Riwayat Tirmizi, Ghorib Hasan)

Imam Tirmizi menyatakan bahawa ini adalah Ghorib Hasan dalam bab ini, kerana Isa bin Maimun al-Ansari adalah seorang yang lemah dalam hadith.

Dalam hal ini, kita perlu bezakan di antara dua perkara:

Pertama: Hukum akad nikah di dalam masjid

Sebahagian ulama’ menyatakan hukumnya digalakkan (mustahab) dan sebahagian yang lain menyatakan hukumnya adalah harus dan dibenarkan. Jumhur Fuqaha’ menyatakan bahawa hukum akad nikah di masjid adalah digalakkan. Antaranya ialah:

Imam al-Jaziri menyimpulkan bahawa ulama’ al-Hanafiah, al-Malikiah dan al-Hanabilah menyatakan hukum akad nikah di dalam masjid adalah digalakkan, antara kata-katanya bermaksud:

Al-Hanafiah berkata bahawa makruh melakukan akad pertukaran (muamalat) seperti jual beli dan sewa-menyewa di dalam masjid. Adapun hibah dan seumpamanya tidak makruh, bahkan digalakkan akad nikah di dalamnya (masjid). (lihat al-Jaziri, al-Feqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, hlmn 385)

Ibn Taimiyah pula berkata:

Dan oleh kerana nikah itu tergolong daripada perkara ibadah, maka digalakkan akad (nikah) di dalam masjid.(Majmu’ al-Fatawa, Darul Ma’rifah, Beirut, jilid 3, hlmn 122).

Manakala Ibn al-Qaiyyim sewaktu mengulas tentang permainan dan gurauan yang dibenarkan, menyatakan:

Sesungguhnya akad nikah adalah seumpama ibadat-ibadat lain, bahkan ia lebih utama dari aspek sunat, dengan itu ia digalakkan dibuat di dalam masjid, sedangkan jual beli pula dilarang di dalamnya. (I’lam al-Muwaqqi’iin, Kaherah, jilid 3, hlmn 153)

Bahkan beliau menyatakan sepatutnya dilakukan di masjid jika ingin dilakukan pada hari Jumaat, katanya yang bermaksud:

Sepatutnya (akad nikah) dilakukan di dalam masjid juga kerana menghimpunkan dua kemuliaan iaitu kemuliaan masa dan kemuliaan tempat.

Manakala ulama’ yang menyatakan hukum harus, mereka berhujjah bahawa perkahwinan itu adalah ketaatan dan ibadah, maka ia digalakkan untuk dilakukan di dalam masjid yang merupakan tempat beribadah kepada Allah, kerana tempat yang paling mulia di atas muka bumi ini adalah masjid.

Kedua: Hukum majlis kahwin di masjid

Harus jika menjaga adab dan tidak berlaku ikhtilat antara lelaki dan wanita serta tidak mengotorkan masjid dengan makanan dan minuman. Imam Nawawi berkata yang bermaksud:

Imam Shafie dan al-Ashab berkata: Diharuskan bagi orang yang beriktikaf dan selainnya makan, minum dan menghidangkan makanan di dalam masjid, begitu juga mencuci tangannya asalkan tidak menyakiti orang lain, jika cucian di dalam bekas maka ia lebih afdhal. (al-Majmu’, jilid 6, hlmn 535-536)

Namun, jika dapat dielakkan maka lebih baik. Kerana majlis perkahwinan tidak sunyi daripada bunyi bising, paluan gendang dan muzik, kanak-kanak dan sebagainya yang menyebabkan objektif sebenar pembinaan masjid akan ternafi. Bahkan jika menyebabkan melanggar perintah Allah seperti berlakunya ikhtilat maka hukumnya adalah diharamkan. Masjid punyai fungsi yang tersendiri. Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya dibina masjid-masjid itu berdasarkan (tujuan) ia dibina. (Riwayat Muslim).

Berkaitan hadith ini, imam Nawawi berkata maksudnya:

Terdapat banyak faedah menerusi hadith ini, di antaranya ialah larangan daripada menyanyikan lagu yang menyesatkan di dalam masjid, dan apa sahaja yang sama makna dengannya termasuk jual beli, sewa menyewa dan sebagainya. Begitu juga makruh meninggikan suara di dalam masjid. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwadzi, jilid 4, hlmn 458)

Hadith wanita dinikahkan oleh nabi di dalam masjid

Manakala hadith seorang wanita yang dikahwinkan oleh nabi SAW di dalam masjid tidak sepatutnya ditolak hanya kerana dia datang menyerahkan dirinya kepada nabi. Hadith ini dianggap muhkam dan boleh beramal dengannya. Diriwayatkan bahawa Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi menyatakan bahawa telah datang seorang wanita kepada nabi SAW lalu berkata yang bermaksud:

Ya Rasulullah SAW aku serahkan (tawarkan) diriku kepadamu (untuk dikahwini). Nabi memerhatikannya kemudian menganggukkan kepalanya. Apabila wanita itu melihat nabi SAW tidak melakukan apa-apa, dia pun duduk. Bangun seorang lelaki daripada kalangan para sahabat dan berkata: Ya Rasulullah SAW, jika engkau tidak berhajat kepadanya, maka kahwinkanlah aku dengannya. Nabi bersabda: Adakah engkau punyai sesuatu?. Lelaki itu menjawab: Demi Allah, tiada ya Rasulullah. Nabi bersabda: Baliklah kepada keluargamu dan carilah sesuatu jika kamu menjumpainya. Lelaki itu pun beredar dan datang semula sambil berkata: Tiada, demi Allah aku tidak jumpa apa-apa. Nabi bersabda: Carilah walaupun sebentuk cincin daripada besi…(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menjadi dalil bahawa nabi SAW melakukan akad nikah di dalam masjid. Ibn Hajar al-'Asqolani ketika menghuraikan hadith ini berkata:

Di dalam riwayat Sufiyan al-Thauri pada al-Isma’ili “Datang seorang wanita kepada nabi SAW, ketika nabi di dalam masjid”, maka ia menunjukkan secara tepat tempat berlakunya kisah tersebut. (Fath al-Bari, jilid 14, hlmn 415)

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, kenyataan menyatakan bahawa ‘Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka’ perlulah bersumberkan dalil yang sohih, apatah lagi membuat kesimpulan bahawa ia menyimpang daripada amalan Rasulullah SAW.

Kesimpulannya

1. Hukum akad nikah di dalam masjid adalah harus dan dibenarkan.

2. Manakala pendapat yang mengatakan hukumnya digalakkan (mustahab), tidak boleh ditolak, lebih-lebih lagi ia merupakan pendapat para ulama’ yang muktabar.

3. Masjid punyai fungsi yang besar dalam Islam dan kita perlu menjaga adab-adabnya.

Saturday, March 5, 2011

hati...

hati ini kadang-kadang sangat memenatkan....
emosinya..riaknya..ujub..bongkak..takbur..syak wasangka..
macam-macam karenah...
belum lagi,..hasad dengki..iri hati...
penat dan memenatkan...

hati ini kalau tak dijaga dengan zikrullah..
maka rosaklah ia...
bila hati rosak...
tubuh badan..akhlak..ibadat..semuanya akan rosak..

ALLAH..peliharalah aku daripada mainan hati...
jadikanlah setiap kerja buat ku ikhlas hanya kerana Mu semata-mata...
tiada yang lain selain Mu yaALLAH..
tenangkanlah ia...
ALLAH..ALLAH..ALLAH..
lembutkanlah ia...
YA LATIF..YA LATIF..YA LATIF...

~~~5 mac 2011..sabtu..bilik guru smk kanowit~~~~